Wabak-Wabak Yang Pernah Melanda Tanah Melayu

Spread the love

Lebih satu abad yang lepas, menjengah zaman moden, bermula Januari 1918, pandemik selsema yang juga dikenali sebagai Spanish flu dengan megah menginjak-injak populasi dunia.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 50 juta orang terkorban disebabkan pandemik tragis ini. 50 juta adalah jumlah kes yang dilaporkan, bagaimana pula dengan kes yang terpencil?

Pandemik ini berakhir pada Disember 1920 sesudah ‘berjaya’ menjangkiti 500 juta orang di seluruh dunia, kira-kira satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia pada masa itu!

Wabak Sedunia

Malaysia, yang pada ketika itu masih dikenali sebagai Tanah Melayu (Malaya) juga tidak terkecuali dilanda wabak ini. Antara yang terkorban adalah Sultan Perak yang ke-29, Sultan Abdul Jalil yang sedang bersemayam di Istana Bukit Chandan.

Baginda gering dengan gejala yang sama seperti wabak Spanish flu selama seminggu, sebelum mangkat pada 26 Oktober 1918.

Simptom wabak seperti selsema, batuk, sesak nafas, dan demam teruk mulai dijumpai di Pulau Pinang sebelum ia merebak ke seluruh Tanah Melayu. Kematian di Tanah Melayu pada masa itu direkodkan hampir 35 ribu orang, iaitu 10% daripada populasi keseluruhan rakyat.

Malangnya, dalam tempoh kurang sebulan dari kemangkatan Sultan Perak, setepatnya pada 25 November 1918, Sultan Terengganu ke-12, Sultan Zainal Abidin III juga mangkat disebabkan pandemik yang sama. 

Sejarah Wabak di Malaysia

Sesudah merdeka, gabungan persekutuan antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang kini dikenali sebagai Malaysia tidak terlepas juga daripada dilanggar pandemik global.

Masuk sahaja ke tahun milenium, wabak-wabak semakin kerap muncul. Daripada SARS (Severe Acute Respiratory Syndrome), ke H1N1 (selsema babi), sehinggalah MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus). Ada juga wabak lain yang muncul, tetapi mujur tidak sempat ‘melayang’ ke Malaysia.

Contohnya virus Ebola yang bermula di Afrika Barat, kemudian malah sempat merebak ke Amerika Syarikat dan Eropah.

Malaysia sendiri tak sunyi daripada dilanda wabak local-originated (asal-usulnya di Malaysia sendiri) seperti virus Nipah (NiV). Berlaku dalam tahun 1998-1999, virus Nipah tercetus di Ipoh sebelum berleluasa ke Selangor dan Negeri Sembilan.

Lebih 250 rakyat tempatan terkorban disebabkannya.

Kelawar bukan penyebab virus Nipah di India | Asia | Berita Harian

Syukurlah, virus Nipah itu hanya bersifat epidemik atau setempat. Tapi hebat juga penangan virus Nipah ini sehingga mengilhamkan idea bagi filem Contagion (2011).

Filem Contagion

Justeru, sesudah semua ‘pengalaman’ menempuh wabak yang telah kita lalui sehingga ke hari ini, apa yang kita dapat pelajari daripadanya? Bagaimana pandemik Covid-19 yang kita lalui pada hari ini membentuk kita?

Sebenarnya ramai dalam kalangan kita tak menjangka bukan, bahawa ‘sentuhan’ Covid-19 kali ini jauh bezanya dengan wabak-wabak global yang pernah kita lalui.

Ini kerana Covid-19 bukan musibah sembarangan.

Sifat Covid-19 yang bersifat ‘hidup lebih lama’ pada badan seseorang walaupun hosnya telah mati, mahupun pada benda bukan organisma, dan juga tempoh incubation yang lama (dalam jangka masa dua minggu) menjadi virus ini bukan calang-calang.

Sebelum itu, kita berpatah balik ke masa lalu. Abaikan dahulu ‘pengalaman’ seabad lepas semasa berleluasanya Spanish flu (wabak pada zaman moden dengan kadar kematian paling tinggi) kerana pada waktu itu Malaysia masih belum wujud.

Pada waktu itu, kita tiada satu able government yang mendokumentasi dengan baik, tetapi hanya penjajah selaku pemerintah yang semata-mata berobjektif untuk kepentingan empayar mereka sahaja. Hakikat, pada hari ini Sepanyol dan UK (legasi empayar British) tetap juga jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali, tidak belajar daripada pengalaman silam.

Dengan pengalaman kita mendepani wabak-wabak sebelum ini (Nipah, SARS, Mers-CoV), nampaknya pengalaman itu sekadar mendewasakan, tetapi tidak mencukupi.

Ramai yang tidak ambil cakna dengan pengalaman lepas. Masih selesa. Masih dengan watak bias optimist yang sama –

“Aku takkan kena sebab hanya orang lain saja yang kena!”

Meskipun sekarang kerajaan mampu menggerakkan (mobilizing) tindakan dan persediaan dengan agensi-agensi kerajaan, frontliners sebagai baris pertahanan terawal, para pasukan beruniform dan keselamatan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan, hakikatnya kita selaku rakyat yang ‘sudah terjatuh baru nak terngadah’ sememangnya sangat terpukul.

Kenapa kita ‘sudah terjatuh’? Sebab dari awal-awal lagi, kita jauh daripada bersedia.

Apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saat itu ramai antara kita yang masih bergoyang kaki, berasa selesa untuk melanggar saranan berkenaan. Hanya apabila PKP masuk ke fasa kedua, barulah mereka terlompat dari duduk masing-masing, melatah. Baru terasa bahangnya. 

Dan apabila PKP menjengah fasa ketiga, kita bermandi peluh di dalam rumah kerana tak mampu menjejakkan kaki ke luar walau rumah sebelah. Penangan Covid-19 tak boleh dibuat main. 

Kita terganggu daripada sudut kewangan. Ada yang dipotong gaji sepanjang tempoh gaji. Ada yang tidak bergaji. Yang teruk ada yang diberhentikan kerja disebabkan syarikat tidak mampu mendepani musibah angkara Covid-19. Begitu juga pada yang bekerja sendiri, terutamanya yang berniaga jajaan, terputus langsung sumber pendapatan. 

Boleh dikatakan – duit – yakni keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup sangat terjejas. Ya, duit tidak boleh beli semua perkara, tapi segala-galanya (keperluan seharian seperti makan, minum dan rumah) perlukan duit bagi membelinya.

Money in Malaysia: Banks, ATMs, cards & currency exchange ...

Persekolahan anak-anak tergendala. Suami-isteri yang sedari awal berhubung jarak jauh sebelum muncul Covid-19 turut terganggu; isteri tak dapat bertemu anak, suami tak dapat bertemu isteri. 

Anak-anak juga terpisah dengan emak dan ayah disebabkan PKP mahupun tuntutan komitmen sebagai frontliners. Tuntutan kerohanian tak dapat dipenuhi; solat Jumaat ditiadakan, solat berjemaah di surau atau masjid hari-hari juga terganggu.

Pendek kata, T20 terganggu, M40 terjejas, dan B40 merana. Kedatangan Covid-19 yang tak diundang benar-benar menduga.

Covid-19 memberi tamparan yang bukan sedikit. Hal kesihatan fizikal hatta mental. 

Di Sebalik Musibah

Bagaimana pandemik Covid-19 yang kita lalui pada hari ini membentuk kita?

—-

Bagaimana pula dengan anda? Apakah kesan yang dibawa oleh Covid-19 terhadap anda, keluarga, mahupun orang di sekeliling anda? Kongsikan pengalaman PKP anda di ruangan komen!

Untuk artikel akan datang, saya akan kongsikan ‘Apa yang Perlu Dilakukan Selepas Covid-19 Berakhir?’ Semoga dengan artikel tersebut juga membantu anda mendepani situasi pandemik yang sama sebegini di masa depan dengan lebih kuat dan bersedia.

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

Penulisan oleh,

Mohd Zulkefli,

Editor IMAN.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *