Tips Elak Bosan Baca Buku Di Musim COVID-19

Spread the love

“Wabak COVID-19 akan tercatat dalam sejarah kemanusiaan sebagai salah satu wabak yang telah memberi kesan yang besar kepada seluruh sistem sebuah negara baik dari segi sosial, ekonomi dan sebagainya. Wabak ini juga telah menyebabkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergeralan (PKP) bagi mengehadkan pergerakan rakyat. Pelaksanaan ini penting supaya kita dapat memutuskan rantaian penularan wabak ini. 

Keputusan ini juga telah mengubah cara hidup seharian kita. Daripada sebahagian 24 jam itu kita isi dengan kerja di pejabat, datang ke kelas ataupun keluar berjumpa dengan kawan. Kini, sebahagian besar 24 jam itu kini kita isinya di dalam rumah kita sahaja. 

Pelbagai aktiviti yang cuba dikongsi dalam alam maya untuk mengisi masa kosong di rumah. Pastinya salah satu itu adalah membaca. Tapi masalahnya adalah kalau setiap masa menghadap buku, lambat laun kita akan mula berasa bosan dan jemu untuk menghadap buku. 

Jadi, saya kongsikan beberapa tips yang saya lakukan untuk elakkan saya jadi cepat berasa bosan setiap kali buka buku untuk dibaca. Awal-awal saya bagitahu, perasaan bosan itu pasti ada kerana kita hanya bergerak di ruang yang sangat terhad. Tapi perasaan bosan ini boleh diuruskan jika kita tahu caranya.

“Perasaan bosan itu pasti ada kerana kita hanya bergerak di ruang yang sangat terhad. Tapi perasaan bosan ini boleh diuruskan jika kita tahu caranya”

Antara cara yang boleh anda lakukan untuk mengelak rasa bosan ialah:

1. Tidak berterusan membaca buku

Badan kita semacam menerima kejutan ketika perlu patuhi PKP.. Banyak perkara yang menjadi kebiasaan kita sebelum ini terpaksa kita simpan elok-elok di dalam sahaja. Jadi, badan kita sedang mengalami transisi tabiat kehidupan.

Sebelum ini, kita ada jadual dan waktu sendiri untuk membaca buku menyebabkan fikiran kita boleh menyerap apa yang kita baca. Tetapi ketika PKP, kita mempunyai waktu yang sangat lapang dan fikir kita, kita perlu penuhi dengan membaca dan membaca.

via GIPHY

Cara begini menyebabkan kita jadi cepat penat dan bosan sebab memaksa jasad kita menerima tabiat baru secara paksaan. Maka, mulakan secara berdikit dengan diselangselikan kerja yang lain di rumah seperti memasak dan mengemas rumah.

2. Pelbagaikan bacaan yang berat dan yang ringan

Bacaan ringan kita baca sewaktu kita tidak mahu terlalu berfikir dan cuba memahami apa yang kita baca. Fikiran kita tidak perlu bekerja keras untuk menyerap kandungan yang kita baca. Maka, bacaan begini sesuai pada waktu  aktif.

Waktu aktif masing-masing ada masa yang tersendiri. Ketika waktu aktif inilah digunakan untuk bacaan berat supaya fikiran kita boleh berfungsi dengan baik dan kita pun tidaklah asyik menguap ketika membaca.

Ketika waktu kurang aktif, gunakan untuk membaca bacaan ringan seperti komik atau cerpen untuk memastikan tabiat membaca kita tidak hilang.

via GIPHY

3. Baca ketika mahu, berhenti ketika perlu

Membaca memerlukan kemahuan daripada diri kita sendiri. Ia mesti dilakukan dengan penuh rela dan rasa ingin tahu yang tinggi. Ia tidak boleh dilakukan dengan paksaan.

Jadi, ketika mahu membaca, maka cepat-cepat ambil buku dan mula membaca walau di mana pun anda berada. Ketika dah mula rasa tidak boleh hadam untuk membaca, samada anda tukar kepada aktiviti yang lain atau tukar ke buku yang lain. 

4. Ikuti media sosial yang bercerita tentang buku

Disebabkan PKP, kebanyakan waktu kita akan diisi dengan melayari media sosial. Maka, bagi memastikan kita sentiasa bersemangat untuk membaca buku, penting untuk kita ikuti media sosial yang bercerita tentang buku.

Nanti ketika kita sedang melayari media sosial, secara tidak langsung kita masih mendapat manfaat yang berkaitan dengan buku. Mungkin ada ketika kita baca resensi orang tentang buku berkenaan, atau ulasan sebahagian isi kandungan buku, atau mungkin memberi komentar kepada reka bentuk kulit buku berkenaan.

Saya sendiri menetapkanSee First’ beberapa syarikat buku dan penulis di media sosial. Tindakan ini juga boleh menjauhkan kita daripada maklumat-maklumat negatif yang banyak tersebar di media sosial. 

5. Ubah kebiasaan tempat membaca

Dalam keadaan ruang yang sangat terhad, manfaatkan setiap ruang yang ada dan sesuai untuk mencari mood baru ketika membaca buku. Mungkin hari ini di bilik anda, esok cubalah di dapur pula (tapi baca buku tau, bukan kunyah biskut).

Cuma pastikan tempat yang anda pilih itu memang sesuai untuk baca buku tau. 

via GIPHY

6. Tanda pada ayat-ayat yang berjaya buat anda terkesima

Boleh tanda menggunakan pensil atau pen atau pen penanda berwarna. Dengan ini kita akan membaca dengan lebih teliti. Selepas menandakannya, anda boleh kongsikannya di sosial media anda atau menulisnya di buku catatan anda.

Tapi kalau anda jenis jaga buku macam saya, saya nasihatkan cukuplah ambil gambar kemudian bagilah kepada yang tersayang. Juga memang menjadi kebiasaan saya untuk menulis semula maksud ayat berkenaan dalam ayat saya sendiri.

7. Kongsikan cerita atau reviu mengenai buku tersebut kepada orang lain. 

Ini boleh dilakukan secara atas talian menggunakan platform media sosial anda atau pun kepada ahli keluarga atau kawan yang bersama-sama anda di dalam rumah. Saling bertukar cerita mengenai buku yang sedang dibaca. Kalau orang serumah anda juga adalah seorang yang membaca buku, boleh juga saling bertukar buku. Tapi kalau anda seorang sahaja, minta maaf ya. Tak dapat saya nak menolongnya. Hehe

8. Membaca sambil mendengar musik yang menenangkan

Membaca sambil mendengar musik yang mendamaikan ini juga sangat membantu untuk kita mendapatkan kelazatan dalam membaca. Antara musik yang boleh dipasang adalah musik yang bersifat instrumental dan bunyi alam semula jadi. Ini akan membantu kita untuk lebih fokus kepada pembacaan.

Tapi kalau dengar macam Spongebob ni nampak gayanya memang anda takkan berjaya membaca buku. Hehe.

via GIPHY

Ini adalah tips yang saya sudah gunakan sepanjang tempoh PKP dan ianya sedikit sebanyak membantu membina ‘mood’ saya ketika membaca dan mengelakkan rasa cepat bosan. 

Jadi, tips anda bagaimana pula? Jemput kongsikan.

Penulisan oleh,

Usaid Asmadi,
Pelajar Praktikal IMAN.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *