Siri Kejayaan VS Kegagalan 1: Meletakkan Kebendaan Sebagai Kejayaan

Spread the love

“Orang yang berjaya ialah orang yang bahagia dan menang, manakala orang yang gagal ialah orang yang rugi dalam hidupnya.” 

Adakah kenyataan ini betul?

Ia tak salah. Ia separa betul.

Realistiknya, tak ada orang yang ‘berjaya’ dan ‘gagal’ yang rugi. Bagaimana hal ini boleh berlaku? 

Ini berlaku sekiranya definisi materialisme tidak menjadi kayu pengukur sesuatu kejayaan. Idea yang meletakkan maksud kejayaan hanya pada bentuk kebendaan hatta keduniaan SEMATA-MATA, adalah cetusan manusia lalai.

Apabila Kejayaan = Kebendaan

Malangnya, bagi kebanyakan manusia, terma kejayaan terbesar (the grand success) adalah dengan konteks kebendaan. Dengan penilaian sebegini, orang ‘berjaya’ adalah orang yang paling banyak mempunyai kebendaan – pangkat tertinggi, pendapatan besar, rumah mewah, kereta import, siapa yang paling berkuasa, harta yang paling banyak. 

Secara tak sedar, ia menjadi pegangan ‘agama’ yang dipersetujui tanpa banyak bicara semenjak zaman purba, tak kira apa bangsa mahupun teologi. 

Fitrahnya, tak ada orang yang sempurna. Tak ada orang memiliki segala-galanya. Ada falsafah mengatakan, “To gain something, you’ve to sacrifice something.” Mahu jadi ‘berjaya materialisme’, kamu terpaksa korbankan sesuatu yang sama nilai dengannya. Nilai yang bukan calang-calang. 

Mahu gaji besar dan menjadi kaya = Bersedia untuk tanggungjawab yang besar = Akan ada banyak kerja = Hampir seluruh masa untuk kerja = Kurang ataupun tiada masa untuk keluarga.

Bahkan, peraturan materialisme selalunya bersifat tak adil – pengorbanan yang banyak tak semestinya mendatangkan ‘kejayaan’ yang banyak. Mahu macam mana lagi, pandai mengambil risiko, pandailah untuk menanggungnya juga.

Jadi, apakah orang yang memegang prinsip keberjayaan sebegini adalah orang yang rugi?

Jawapannya, ya.

Dia takkan rugi sekiranya:

  1. Dia berhasil memiliki kebendaan itu – dan dia hidup selama-lamanya. 
  2. Dia yakin takkan jadi menyesal, tatkala dia mempunyai beberapa detik sebelum nafas terakhir.

Jika dia mencapai kejayaan sebegitu sesudah 10 tahun berusaha, dan kemudian dia mati pada penghujung tahun ke-11, berbaloikah? Kebendaannya itu akhirnya bakal dinikmati oleh orang lain.

Firman Allah SWT dalam surah at-Takathur, ayat pertama:

“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat, dan pengaruh.”

Yang seterusnya dalam ayat kedua sehingga keempat: 

“Sehingga kamu masuk kubur.

Jangan sekali-kalu (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!”

Buat manusia yang hidupnya berpaksi materialistik dan keduniaan, nyata Allah SWT sudah mengadakan ‘ganjarannya’.

Yang Tidak Rugi

Tapi pada kejayaan materialisme itu tidak mengandungi kerugian sejati. Ia bukan satu kejahatan dan mutlak (absolute evil). 

Ia perlu. Namun, berpada-pada mengikut individu. Setiap daripada kita memikul beban yang berbeza, lantas memerlukan kebendaan bagi merealisasikan. Maka, kejayaan bersifat kebendaan juga adalah fitrah manusia – bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Yang pasti jangan jadikannya sebagai keangkuhan. Akui kejayaan materialisme sebagai anugerah Tuhan untuk dikongsi, bukan hanya untuk perut (baca: nafsu) sendiri. Menjadikan kelebihan kebendaan kamu sebagai kuasa untuk memandang rendah orang lain – ingatlah, kamu bukan Tuhan.

Harta dan pangkat kamu bukan hidup abadi.

Hidup ini seperti roda. Ada masa ia akan berada di bawah. Sekarang kamu sedang berada di atas, mungkin esok kamu akan laju terjunam ke bawah. Siapa yang dapat jamin ‘kejayaannya’ di masa depan masih sama hatta ada lagi, bukan?

Oh ya, harta dan pangkat yang kamu ‘miliki’ tak pernah menjadi milik kamu. Ia hanya pinjaman.

Kejayaan Itu Pinjaman

Kamu hanya dipinjamkan harta. Bahkan kamu juga tidak memiliki masa. Betapa kamu dalam keadaan yang banyak kelemahan. Tapi harta itu di bawah ‘kekuasaan’ kamu selagi hidup di dunia. Kamu ada kuasa untuk membuat pilihan. Maka, tuntunlah kejayaan kamu itu dengan pilihan yang betul. Manualnya sebegini:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan KEBENARAN serta berpesan-pesan dengan KESABARAN.”

(Surah al-‘Asr, 103: 1-3)

Kamu ada kejayaan kebendaan. Kamu ada masa. Maka, jadi manusia yang berusaha mencapai redha Tuhan, dengan menegakkan kebenaran dengan kejayaanmu itu (baca: dikorbankan). 

Dan sabar sesabar-sabarnya dalam menyebar luas kebenaran, ini sebab membuat baik kerana Tuhan bukan senang.

Kenapa kamu perlu mengambil kejayaan kebendaanmu lalu dikorbankan lagi sesudah kamu berusaha sungguh-sungguh untuk memilikinya?

Asbab, kamu manusia yang akan mati. Seorang muslim. Bertuhan Allah SWT. Bakal dihisab di akhirat. Semua kepunyaanmu di dunia bakal disoal – tanpa kecuali – termasuklah kejayaan kebendaanmu itu. Apakah kau tuntun ia ke arah sia-sia – untuk nafsu semata-mata, ketamakan, keangkuhan?

Seterusnya sama ada kamu akan berjaya – masuk ke syurga atau ke neraka. 

Masuk ke syurga tidak sesekali dengan tiket mementingkan diri sendiri (selfish).

—-

Apa pandangan anda tentang kejayaan? Boleh kongsikan pendapat anda. Masing-masing ada pandangan peribadi. Tiada salah untuk berkongsi.

Pada artikel akan datang saya akan kongsikan ‘merubah definisi dan perspektif kejayaan’ dan ‘yang gagal tak bermaksud gagal’. Nantikan. 

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

Penulisan oleh,

Sang Penulis Jiwa.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *