Filem Everest: Mengapa Ingin Mendaki Jalan Yang Tinggi Dan Sukar?

Spread the love

Filem Everest (2015) adalah berdasarkan sebuah kisah benar yang berlaku pada tahun 1996 tentang sekumpulan pendaki yang ingin menakluk titik tertinggi di atas muka bumi, iaitu puncak Gunung Everest. Ekspedisi kumpulan besar itu diduga dengan siri kondisi buruk yang menimpa satu demi satu, menyebabkan mereka akhirnya terpaksa berdepan dengan cabaran yang maha hebat demi survival hidup.

Walaupun dihujani dengan pelbagai risiko yang memang pun diketahui oleh mereka, mereka masih berkeinginan menghadapinya – yang membuatkan orang lain sering tertanya-tanya;

Mengapa Ingin Mendaki Jalan Yang Tinggi Dan Sukar?

Mendaki Everest ibarat mempertaruhkan nyawa sendiri. Demi apa? 

Antara tujuan para pendaki ini adalah demi wang, kelangsungan kerjaya dan pencapaian yang ingin dibanggakan.

Bagi ketua ekspedisi dan ahli kumpulannya, mereka makan gaji daripada bayaran puluhan ribu dolar yang dikenakan ke atas setiap pendaki. Ada yang mendaki kerana keperluan tugasnya sebagai wartawan. Kerjayanya mungkin tergugat jika ceritanya tidak lengkap sampai ke puncak dengan penamat yang membanggakan.

Salah seorang pendaki dalam kumpulan tersebut ialah seorang wanita yang sudah mendaki 6 daripada 7 puncak tertinggi di bumi. Apabila ditanya kepadanya mengapa dia mahu mendaki Everest, jawapannya seperti yang boleh diduga: dia mahu melengkapkan yang ketujuh.

Seorang pendaki lain ingin memberi inspirasi kepada kanak-kanak di sebuah institusi yang selalu dilawatinya bahawa jika dia – seorang posmen biasa pun mampu membuat sesuatu yang besar, apatah lagi mereka. 

Seorang lagi pendaki mendakwa dirinya terasa berbeza (lebih kuat) semasa mendaki dan dia sukakan dirinya sebegitu walaupun pemergiannya tidak mendapat restu isterinya.

Niat yang Benar

Tujuan adalah elemen yang sangat penting kerana tujuanlah yang menggerakkan tubuh badan manusia untuk bekerja. Tujuan jugalah yang memberi motivasi dan peringatan tatkala tubuh manusia mula lesu ketika berdepan cabaran. Tanpa niat yang betul, segala pekerjaan manusia akan menyeleweng pada pertengahan atau penghujungnya.

 Muhammad Ahmad Ar-Rasyid pernah menyebutkan:

“Kelesuan selepas mujahadah adalah kerana rosaknya langkah permulaan.”
(Al-Muntalaq)

Langkah permulaan yang paling awal dalam setiap pekerjaan tentulah tujuan atau niat. Apabila rosaknya niat, maka cepatlah manusia berputus asa selepas berusaha.

Ketika mencecah ketinggian 24,000 kaki dari aras laut, tatkala kem mereka dilanda ribut teruk dan semakin ramai jatuh sakit, para pendaki ini mula berasa lemah dengan apa yang mereka usahakan. Mereka mula terdiam dan berasa ragu sama ada berbaloi atau tidak mereka melalui semua kepayahan ini, apatah lagi mempertaruhkan nyawa demi tujuan masing-masing.

Ada yang menarik diri, sama ada kerana atas nasihat doktor atau kerana diri sendiri terasa tidak mampu lagi meneruskan ekspedisi.

Niat mereka belum cukup kuat untuk menampung cabaran yang mereka hadapi.

Motivasi yang Baik

Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud apabila kita berasa letih semasa berusaha, niat kita terus dihukum salah. Niat yang salah memang menyebabkan manusia terjatuh dengan mudah di jalan perjuangan. Namun orang dengan niat yang betul juga kita pasti kadang-kadang terasa lemah apabila diduga ujian, lalu memerlukan suntikan-suntikan motivasi sepanjang perjuangan itu. 

Seperti para pendaki Everest ini, apabila mereka ternampak puncak Everest dengan jelas dari kem itu setelah ribut reda, barulah mereka terasa bersemangat semula untuk menyambung pendakian.

(Image: blog.peopleschoice.com)

Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran:

“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan. Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar. Dan tahukah kamu apakah jalan mendaki dan sukar itu? Melepaskan hamba, atau memberi makan pada hari terjadi kelaparan, anak yatim yang ada hubungan kerabat, atau orang miskin yang sangat fakir. Kemudian dia termasuk orang-orang yang beriman, dan saling berpesan untuk berkasih sayang. Mereka adalah golongan kanan.”
(Surat al-Balad: 10 – 18)

Beramal soleh diibaratkan seperti menempuh jalan mendaki yang sukar. Dan puncak yang selalu memotivasikan pendaki akhirat ini ialah ganjaran serta syurga Allah. Dalam hidup ini, berapa banyak saja manusia yang mahu melalui jalan mendaki itu. Dalam golongan kecil itu pula, berapa banyak yang terkandas di pertengahan jalan. Semuanya kerana kekurangan kombinasi niat dan motivasi yang baik.

Manusia Kalah Dengan Alam

Jika ada antara kita yang pernah merasai musim sejuk di luar negara, pasti kita menginsafi betapa hebatnya nikmat haba yang Allah s.w.t. berikan kepada manusia. Ada sesetengah pelajar Malaysia yang terpaksa mengharungi salji tebal dan suhu serendah -50°C saban hari untuk pergi ke kelas. Tambahan pula universiti di sana mengadakan sesi pembelajaran paling banyak di dalam musim sejuk, kerana musim panas yang indah dan pendek diperuntukkan sebagai cuti semester.

Bayangkan pula waktu malam dan siangnya yang berubah-ubah mengikut musim. Pada musim sejuk malamnya terlalu panjang. Maka waktu Subuh masuk lambat, sekitar jam 8 pagi. Manakala waktu Isya’ sudah pun menjelang pada jam 3 (petang tapi sudah malam). Tempoh siangnya sangat pendek, sehinggakan waktu Asar seolah-olah tidak wujud kerana terlalu singkat. 

Begitulah hebatnya kuasa Allah s.w.t. yang menciptakan alam ini mengikut kemahuan-Nya. Manusia tidak berkuasa mengubah, melainkan hanya berusaha menyesuaikan diri pada keadaan itu.

“Wahai golongan jin dan manusia! Jika kamu sanggup menembus penjuru langit dan bumi, maka tembuslah. Kamu tidak akan mampu menembusnya kecuali dengan kekuatan (dari Allah).”
(Surah ar-Rahman: 32-33)

Dalam al-Quran, Allah SWT telah memberikan banyak perumpamaan daripada sebesar-besar langit sehinggalah sekecil-kecil lalat supaya manusia berfikir tentang kehebatan kuasa-Nya.

Di tempat yang tinggi seperti Gunung Everest, selain ribut salji yang tidak diduga, cabaran paling dekat yang perlu didepani para pendaki ialah tubuh fizikal mereka sendiri. Ini kerana ketika mencapai satu tahap ketinggian dari aras laut, tubuh badan manusia tidak akan dapat menampung kondisi di atas sana terutamanya suhu dan kandungan oksigen yang semakin rendah. 

Hakikatnya, tubuh manusia yang berada di atas sana sedang mati secara sedikit demi sedikit. 

Semakin tinggi manusia cuba naik ke langit, udara semakin menipis dan badan semakin membeku. Pada peristiwa 1996 itu, tangki gas oksigen yang dibawa pun tidak mampu membantu para pendaki untuk bernafas kerana oksigen di dalamnya telah membeku.

Dalam keadaan ini, dapatlah manusia membandingkan betapa tingginya nikmat oksigen dan haba yang dikurniakan Tuhan secara percuma dan sedia ada.

Seksanya hidup tanpa udara telah digambarkan Allah s.w.t. di dalam al-Quran:

“…Dan barangsiapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman.”
(Surah al-An’am: 125)

Dan pada tahap kronik dalam suhu melampau ini, pendaki akan berasa panas walaupun berada dalam suhu sejuk beku. Simptom ini dinamakan hypothermia.

Disebabkan kehilangan haba yang sangat banyak, sistem tubuh manusia bekerja keras untuk menyelamatkan kembali tubuh badannya. Bagi menyelamatkan organ-organ penting seperti jantung dan paru-paru, bahagian badan lain terpaksa dikorbankan. Kepala akan berasa pening dan keliru. Jantung semakin perlahan, salur darah membesar, dan akhirnya badan akan berasa sangat panas. 

Banyak mayat pendaki yang ditemui di atas gunung Everest dalam keadaan tidak berpakaian kerana mati dalam kondisi ini.

manusia tidak pernah taklukan gunung

Kekerdilan Manusia

Manusia ini begitu kerdil. Tetapi mereka selalu merasa diri lebih hebat daripada Tuhan. Dan manusia tidak mampu menguasai makhluk bernama gunung sekali pun. Apatah lagi bertanding dengan Tuhan yang menciptanya? 

Manusia tidak mampu hidup tanpa udara, haba dan tenaga. Manusia juga tidak mampu mengawal sendiri tubuh badannya. Dia sendiri tidak dapat menyelamatkan diri daripada tubuhnya jika fungsinya semakin gagal. Namun masih banyak manusia yang angkuh terhadap Dia yang memberi nikmat-nikmat itu.

Dengan merasai kekerdilan diri berbanding alam semesta, sudah cukup untuk membantu perbandingan betapa kerdilnya manusia di sisi Allah s.w.t. Itulah sebabnya sangat penting bagi kita untuk menuntut ilmu dan mengambil ibrah daripada segala peristiwa dan keadaan yang berlaku di sekeliling kita.

Wallahua’lam.

Anda ada pengalaman mendaki bukit dan gunung? Seumur hidup saya, saya pernah mendaki gunung dua kali. Ia tak setinggi mana jika dibandingkan dengan gunung megah yang lain, tapi ia pengalaman yang cukup mencabar dan menginsafkan saya. Kongsikan pengalaman anda bersama orang lain, agar kita semua mendapat pengajaran dalam mentadabburi alam ciptaan-Nya.

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

Penulisan oleh,

Auni Zainal,

Penulis IMAN.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *