Berkesankah Solat Kita?

Spread the love

Berapa lamakah kita telah melaksanakan kewajipan solat?

Bagi seorang Muslim sejak lahir, yang pasti ia bukan setahun dua. Kebanyakan kita, ia sudah seakan-akan menjadi ruji seharian. Jika tidak dibuat seolah-olah hidup tiada lengkap. Terasa gundah-gelana seperti ada sesuatu yang hilang.

Ya, terasa tak sempurna hidup. Tapi – kenapa kita terasa solat ini seperti membebankan? Kita solat lima waktu sehari semalam, namun tak merasai nikmatnya.

Solat itu sepatutnya memberi kita rehat daripada segala masalah, kekuatan, ketenangan, malah kebahagiaan. Jelas kini, apabila kita usai bangkit daripada solat, kita tak memperolehinya.

Hampir semua kita merasakan perasaan sedemikian.

Sepanjang bertahun-tahun kita bersolat, pernahkah kita terfikir – kenapa solat yang kita lakukan ini terasa tidak mendatangkan ‘rahmat’ yang sepatutnya? 

Nikmat solat ini sudah dijanji oleh Allah sendiri. Orang-orang yang solat adalah orang yang diberikan kejayaan. Bukankah sepatutnya begitu?

Kita mahu menjadi orang yang betul-betul rehat semasa solat, bahkan selepas solat!

Justeru, sebelum kita solat, ambil masa sepuluh minit untuk bersimpuh di atas sejadah. Kenang kembali waktu awal-awal dahulu mengenal solat. Ada tak kata-kata yang pernah kita cakap kepada hati kita dahulu,

“Bila saya dah tahu cara solat, dah hafal bacaan solat, aku nak solat.”

Ingat semula perasaan khusyuk yang pernah kita perolehi. Ada tak terasa bahagia dan gembira?

Kenapa sekarang ini berbeza?

Boleh jadi kerana kita melaksanakan solat seperti ia sebuah rutin. Solat yang dilakukan hanya ritual. Kita tidak hayati hafalan, hanya lafaz di mulut. Kita tidak nikmati rukun; takbir, rukuk, sujud, semuanya dilakukan kerana ‘mahu cepat’.

‘Hati’ kita sudah mangli.

Ya, hati kita lali sebab kita lakukan solat itu hari demi hari, mengulang-ulangnya ribuan kali, sehingga erti solat sebenar kita pilih untuk tak peluki lagi. Solat hanya tinggal pergerakan, sudah tak jadi kenikmatan seorang hamba kepada Pencipta Sejati.

Oleh sebab itu buku ‘Rehatkan Hati Dengan Solat’ ini dihasilkan.


Supaya ia menjadi pedoman.

Jika di dunia ini ada magis, solat inilah magis itu. Solat itu benar-benar merehatkan.

Jika tak, masakan Rasulullah SAW ada berkata kepada Bilal RA, azanlah supaya Baginda dan para sahabat dapat berehat dengan solat. Hatta, apabila Rasulullah SAW dilanda masalah, langsung dihentikan unta yang dinaikinya pada waktu itu lalu segera Baginda menunaikan solat.

Solat jua adalah penyelesai masalah! Waktu sujud dalam solat itu adalah sesi berdua yang paling dekat antara kita kepada Allah.

Sepuluh minit sebelum solat, kita duduk di atas sejadah, ambil masa itu untuk bermuhasabah. Tekuni tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang terkandung dalam buku ini, ambil pengajaran daripadanya. Baiki niat terlebih dahulu.

Bak kata Ustaz Pahrol,

Solat yang berkesan ialah solat yang dilaksanakan kerana Allah SWT, bukan kerana ibu bapa, bapa mentua, kawan atau orang lain. Secara ringkas, itulah yang harus kita betulkan untuk mendapat solat yang berkesan.”

Jika solat kita masih ada lompong, ada kekurangan di sini dan di sana, jangan tergesa-gesa. 

Ustaz Pahrol ada berpesan lagi,

Katakanlah kita tidak mampu membuat tindakan pembetulan itu sekali gus, maka cubalah bermula secara berdikit-dikit. Misalnya, jika penghayatan terhadap bacaan-bacaan solat masih kurang, maka biarlah solat erti dan makna bacaan tersebut dapat kita fahami dahulu. Jangan sekali-kali terjebak oleh keinginan mencapai kesempurnaan hingga tidak melakukannya langsung. Sebaliknya, mulakanlah setakat kemampuan. Secara perlahan-lahan tingkatkan kualitinya dari semasa ke semasa.”

Jika kita terus-terus mahukan solat yang dilakukan itu sempurna, khuatirnya kita akan kepenatan di tengah jalan, lalu berputus asa.

Kata Ustaz lagi, “Terus solat walaupun belum dapat meninggalkan kemungkaran lain. Niat kita memang hendak meninggalkan kemungkaran, tetapi atas kelemahan diri, kita kalah dengan runtunan nafsu dan bujukan syaitan.”

Manusia memang tak dapat lari daripada hasutan syaitan supaya membelakangi Allah. Disebabkan kerana kelemahan itu, jangan bersedih duka.

Dalam buku ini dengan lembut Ustaz Pahrol memberi berita gembira:

“Rasulullah SAW juga pernah bersabda tentang keadaan seseorang yang bersolat tetapi masih mencuri, bahawa lambat laun pasti solatnya itu akan mencegahnya daripada melakukan kemungkaran. Ini menunjukkan bahawa solat itu mempunyai suatu kuasa yang akan menghalang manusia daripada melakukan kejahatan. Oleh kerana itu, teruslah menunaikan solat.”

Ayuh, bangkit dari duduk kita. Wuduk diambil sekali lagi. Air disapu ke muka. Dilalukan di tangan dan kaki. Terasa segar. Di atas sejadah kita berdiri dengan kejap. Pejam mata, pusatkan segala perasaan ke hati.

Solat aku ini untuk Tuhan yang aku sayang. Buka mata. Lafazkan basmalah. Angkatlah tangan bertakbir dengan rasa hamba. Dan dakaplah ke dada.

InsyaAllah, Allah pasti akan memberi bahagia.

Ditulis oleh,
Mohd Zulkefli
Tim IMAN Publication

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *