5 Buku Mendidik Hati Oleh Ustaz Pahrol

Spread the love

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi terkenal sebagai seorang penulis prolifik yang menghasilkan karya berbahasa indah. Tulisannya menusuk jiwa. Isu yang ditulis juga dekat dengan kehidupan ramai orang.

Dalam kepandaian bermain dengan kata-kata, mesej yang ingin disampaikan dalam setiap buku tetap sampai dengan jelas. Buktinya walaupun bertahun-tahun lamanya selepas buku beliau ditulis, ia masih tetap dicari dan dibaca oleh ramai orang.
Berikut adalah lima buku Ustaz Pahrol yang mengesankan jiwa.

1) Nota Hati Seorang Lelaki

Buku ini mengandungi tulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dalam empat sisi berbeza – daripada sudut pandang ustaz sebagai seorang anak kepada arwah bapanya, pandangan seorang suami kepada isteri, lalu melangkah pula kepada sisi seorang ayah, dan disudahi pegangan daripada seorang pendakwah.

Ditulis dalam bentuk cerita dan berdialog, pengalaman Ustaz Pahrol yang dituang dengan ikhlas dalam buku ini mampu menyentuh hati para pembaca. Tulisan Ustaz Pahrol seakan-akan membawa kita untuk bersama di sebelah, mendengar sendiri ‘luahan hati’ beliau. Kisah-kisah hati yang disampaikan mungkin seakan-akan sama seperti yang banyak orang di luar sana lalui. Sudah klise dan biasa.

Tetapi persoalan yang dipamerkan, rentetan dengan dialog yang mengalir lembut dan lancar, mengugah kita untuk berfikir lanjut tentang maksud lantas kebaikan pengalaman yang Ustaz Pahrol lalui. Buku ini antara karya laku keras Ustaz Pahrol.

2) Melakar Damai Di Jiwa

Sesuai dengan judulnya, buku ini dihasilkan dengan tujuan agar para pembaca berjaya mencapai ketenangan jiwa pada setiap penghabisan bab. Dalam buku ini, Ustaz Pahrol merangkumkan banyak aspek kehidupan yang jarang kita beri perhatian.

Persoalan seperti maksud kemaafan yang mempunyai makna yang besar, perasaan sebenar yang seharusnya dimiliki seorang anak kepada ibu dan ayah, usaha mengalahkan kemarahan dengan cara terbaik, dan membina peribadi supaya selalu bersangka baik antara jalan yang dirintis oleh Ustaz Pahrol untuk kita lalui.

Daripada jalan yang dibuka itu (bab demi bab), sehinggalah di halaman buku yang terakhir, kedamaian demi kedamaian yang ‘disedarkan’ Ustaz Pahrol Mohamad Juoi kepada pembaca, jika diambil sepenuh jiwa, mampu merubah seseorang itu menjadi manusia yang lebih baik.

3) Celik Mata Hati

Ia bukan sekadar sebuah buku motivasi, tetapi ia merupakan sebuah buku panduan. Panduannya pula bukan semata-mata untuk lahiriah, tetapi mengakar ke hati. Dengan cara itulah seorang muslim mampu menjadi mukmin.

Seorang muslim perlu mempunyai hubungan paling akrab (bertakwa) kepada Allah. Pada masa yang sama dia perlu mahir, berilmu dalam hal keduniaan. Pada saat melibatkan keduniaan, dia tak mementingkan lahiriah sahaja, tetapi turut menggandingkan dengan sisi spiritual dan rohani – terutama sekali iman. Inilah definisi mukmin profesional yang dinyatakan menerusi buku ini.

Ustaz Pahrol mahukan umat Islam terutamanya di Malaysia menjenamakan semula kedudukan umat di strata paling atas. Bangkitkan semula ekonomi, politik, keilmuan dan pencapaian umat Islam pada kedudukan yang berhak. Ia mampu dicapai melalui ikatan yang kukuh antara hubungan Allah dengan manusia, ibadah dengan kerja, material dengan spiritual, akal dengan adab.

Umat Islam tak boleh memisahkan dunia daripada akhirat, atau sebaliknya. Kedua-duanya perlulah seiring dan berada dalam keadaan seimbang. Justeru, buku ini mendidik kita supaya menjadi seorang muslim lebih baik jiwa dan hatinya, selain daripada raga dan fizikal yang menjadi penampilan luaran. Perubahan ke arah menjadi seorang mukmim profesional hanya boleh berlaku, bermula daripada diri sendiri, melalui kembali kepada akidah yang benar. Baiki hati, barulah anda boleh baiki dunia.

 

4) Didiklah Dari Hati

Didikan itu mesti datang dari hati yang jujur, bukan melalui paksaan dan ilmu keduniaan tanpa bimbingan syariat yang sebenar. Akidah Islam adalah teras ilmu keibubapaan. Itu nasihat utama dalam buku parenting (keibubapaan) daripada Ustaz Pahrol ini.

Ilmu mendidik anak bukan semata melibatkan tindakan. Ia perlu lahir dari hati ibu dan bapa sendiri. Ini kerana sesuatu yang berasal dari hati, dengan niat mendidik anak dilandaskan ikhlas kerana Tuhan, pasti menyentuh hati anak itu. Didikan itu tidak akan menjadi kosong dan kering, tetapi bertumbuh dengan keredhaan Allah.

Nasihat dan panduan yang disusun oleh Ustaz Pahrol di dalam buku ini bersifat mudah faham dan mudah perlaksanaan (praktikal). Bersama-sama isteri beliau, Ustazah Rasidah Mustaffa, isi kandungan buku ini sememangnya berasal daripada pengalaman alamiah dan rohaniah kedua-dua penulis. 

Lembut dalam menyampaikan didikan seperti air sungai yang dingin dan menyegarkan, dan tegas dalam hal akidah dan agama selaksana gunung yang tak lut dirempuh angin, itulah cara penulisan ustaz dan isteri beliau. Penyampaian konten buku dalam reka bentuk moden, berilustrasi, dan nota-nota membantu pembaca memahami dengan lebih mudah.

Isi kandungan buku ini bermula daripada asas pembinaan adab anak-anak, disusuli didikan jasmani yang melibatkan fizikal dan mental. Selanjutnya pembentukan peribadi yang soleh menjadi keperluan. Akhir sekali anak-anak dibawa untuk mencintai Allah, Rasulullah dan agama. Dengan cara itu barulah anak-anak mampu akan selamat di dunia dan di akhirat.

5) Rehatkan Hati Dengan Solat

Apakah solat yang kita lakukan pada hari ini adalah solat yang ‘baik’? Atau ia sudah sekadar rutin harian? Rutin yang sudah tak diendahkan ertinya, cuma dilakukan kerana ia perlu. Seperti perlunya makanan pada manusia.

Solat yang dilakukan sudah tak menghasilkan kesan yang sebenar. Solat sepatutnya menjadikan manusia ‘berehat’. Bukan rehat sementara – berhenti segala masalah apabila masa rehat itu tiba, tetapi kembali ada dan berlanjutan tatkala masa rehat tamat. Rehat yang sebenarnya menjadikan seseorang itu lebih matang dan kuat, menghasilkan solusi yang menghapuskan segala rusuh dan stres. Itu yang disampaikan oleh Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dalam buku ini.

Solat yang mampu merehatkan jiwa dan raga seseorang – solat yang berkualiti adalah jawapannya. Ia bukan solat yang tidak dihayati oleh pelakunya, semata-mata melakukan pergerakan rukun berulang-ulang dan menghafal bacaan Arab di lidah. Tetapi solat yang difahami makna luaran dan dalaman, melalui perbuatan dan penyertaan jiwa.

Ustaz Pahrol mengajak pembaca bermuhasabah dan bersama-sama berusaha menjadikan solat demi solat yang dilakukan lebih baik daripada sebelumnya. Seseorang yang bersolat tetapi masih mencuri, lambat laun pasti solatnya itu akan mencegahnya daripada melakukan kemungkaran.

Hadis Rasulullah SAW yang ada dinyatakan dalam buku ini jelas merupakan satu pendorong, bahawa semua orang ada peluang melakukannya. Semua orang pendosa, dan semua orang ada peluang untuk menghapuskan dosanya – melalui solat yang berkualiti.

Demikianlah 5 daripada banyak lagi karya tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang berkisar tentang hati. Semoga membantu anda dalam memilih bacaan yang tepat bagi proses mendidik hati. Kerana hatilah elemne terpenting dalam pembinaan peribadi manusia.

Selamat membaca!

(Visited 34 times, 1 visits today)

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *